Perodua Myvi Advance terima kemaskini warna dua-tona, rebat sehingga RM3,800 untuk Myvi SE dan Advance

0
617

2016 Perodua Myvi New Two-Tone Colour

Menurut laporan sebelum ini, model kompak Perodua Myvi 1.5 untuk edisi tahun 2016 akan menerima kemaskini ‘facelift’ terbaharu, namun hari ini telah disahkan bahawa laporan tersebut sedikit tersasar. Sebenarnya, Perodua Myvi 1.5 Advance Edition 2016 hanya menerima kemaskini warna terbaharu sahaja bagi model berwarna ‘Electric Blue’ (Biru Eletrik), apabila ianya digabungkan dengan warna ‘Ebony Black’ (Hitam) yang merangkumi bahagian bumbung dan lain-lain (sila rujuk gambar).

Skim warna dua-tona tersebut kelihatan agak menarik, sekurang-kurangnya menjadikan penampilan Myvi 1.5 Advance Edition 2016 versi itu kelihatan lebih segar berbanding model sebelumnya. Selain itu, Perodua turut menawarkan rebat tunai menarik untuk Myvi 1.5 SE sebanyak RM3,800 (harga tawaran RM46,568 untuk manual, RM49,568 untuk automatik), manakala Myvi 1.5 Advance Edition versi biasa ditawarkan rebat tunai sebanyak RM3,650 (harga tawaran RM54,718, automatik sahaja). Tawaran rebat menarik itu akan bermula dari esok, 7 Mei 2016, sehingga tarikh 5 Jun 2016.

Perodua Myvi 2016

Bagi model Myvi 1.5 Advance Edition 2016 yang didatangkan dalam skim warna dua-tona terbaharu, ianya ditawarkan pada harga tawaran sebanyak RM55,118 (harga di atas jalan termasuk insuran), bermakna harganya RM400.00 lebih mahal berbanding harga Myvi 1.5 Advance Edition versi biasa. Setakat ini tiada perbezaan spesifikasi teknikal di antara Myvi Advance versi biasa dengan versi dua-tona warna terbaharu, sesuatu yang dirasakan agak mengecewakan.

Selain itu, Perodua juga mengumumkan bahawa varian Myvi 1.3 Premium X dan Premium XS telah pun dimansuhkan jualannya, dan yang tinggal kini hanyalah varian Myvi 1.3 Standard G sahaja (manual dan automatik). Untuk anda yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat Myvi 1.5 Advance Edition 2016 versi dua-tona terbaharu, anda boleh kunjungi hari terbuka ‘Riuh Bersama Perodua’ esok di semua bilik pameran dan pusat servis Perodua di seluruh negara.