Kawasaki Z125 Pro kini di pasaran Malaysia, harga jualan termasuk GST sebanyak RM10,435

0
1314

Kawasaki Z125 Pro Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki Z125 Pro kini sudah boleh didapati melalui semua wakil jualan Kawasaki yang sah di seluruh negara, bermula dari tarikh 04 Mei 2016 (Rabu). Kawasaki Z125 Pro merupakan model terkecil di dalam siri Kawasaki Z, yang mana ianya terlebih dahulu dilancarkan di pasaran Thailand, Jepun dan Indonesia.

Melihat kepada aspek spesifikasinya, Kawasaki Z125 Pro dilengkapi enjin bersesaran 125cc (Air-cooled, 4-stroke Single, SOHC, 2 valves) dengan keluaran kuasa maksimum 9.8PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 9.6Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut dipadankan kotak gear 4-kelajuan, termasuk dilengkapi teknologi suntikan bahan api (fuel injection) yang cekap.

Kawasaki Z125 Pro merupakan versi yang dilengkapi klac tangan manual untuk corak tunggangan yang lebih agresif, manakala versi tanpa klac tangan tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Model tersebut turut didatangkan dengan sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang untuk pemberhentian yang lebih meyakinkan. Tangki bahan apinya pula seluas 7.4 liter.

Kawasaki Z125 Pro untuk pasaran Malaysia tersedia dalam pilihan dua warna menarik iaitu Hijau dan Oren, pada harga jualan RM10,435 termasuk GST (sumber maklumat dari Paultan.org). Untuk anda yang mungkin berminat untuk memiliki model kecil yang sporty ini, sila kunjungi wakil jualan Kawasaki yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap.