Naza Kia Malaysia lancar Rio Sedan X

0
167

2016 Kia Rio Sedan

Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan berjenama Kia di pasaran Malaysia, dalam bulan Mac 2016 yang lepas secara rasminya telah melancarkan Rio Sedan X. Model tersebut merupakan varian terbaharu kepada model Kia Rio Sedan yang dilancarkan sebelum ini, yang mana ianya kini menawarkan penampilan keseluruhan yang lebih menarik dan sporty khusus untuk memenuhi gaya hidup dan keperluan golongan pembeli muda.

Ciri-ciri terbaharu yang ditawarkan melalui Kia Rio Sedan X termasuklah kit badan sporty, tempat duduk kulit yang eksklusif dan sistem infohiburan multimedia dengan kamera undur. Kit badan penuh yang ditawarkan merangkumi skirt depan, skirt tepi, skirt belakang dan spoiler belakang untuk penampilan yang lebih sporty berbanding varian Rio Sedan standard. Kia Rio Sedan X dikuasakan enjin Gamma 1.4 MPI DOHC CVVT yang menghasilkan kuasa setinggi 109PS dan tork maksimum 137Nm, serta dipadankan transmisi automatik 4-kelajuan.

Kia Rio Sedan X dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan yang menjadi peneraju di dalam kelasnya untuk perlindungan yang maksimum. Antara ciri-ciri keselamatan yang menonjol ialah empat brek cakera, sistem ABS (anti-lock brake system), sistem pemantauan tekanan angin tayar dan ECS (electronic stability control).  Ciri-ciri keselamatan dan sistem bantuan lain pada model terbabit adalah seperti enam beg udara, VSM (vehicle stability management), HAC (hill-start assist control), sensor parking belakang dan ISOFIX.

Kia Rio Sedan X terbaharu boleh didapati dalam pilihan empat warna luaran yang menarik seperti Perak (Bright Silver), Merah (Signal Red), Biru (Deep Blue) dan Putih (Clear White). Harga jualan yang ditetapkan ialah sebanyak RM77,888. Kia Rio Sedan X didatangkan dengan tempoh jaminan selama 5 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had, tertakhluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.