Adakah Yamaha RX-Z akan kembali ke pasaran?

0
309

Yamaha RX-Z (007)

Berdasarkan maklumat dari Wikipedia, Yamaha RX-Z mula diperkenalkan di pasaran tempatan mulai April 1985, dan sejak itu ianya menjadi model yang sangat popular di kalangan anak muda. Yamaha RX-Z dilengkapi enjin dua lejang dengan kapasiti 133cc, menghasilkan kuasa yang memuaskan pada angka 20bhp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 1.85 kgf (4.1 lbf) @ 7,500rpm.

Generasi pertama Yamaha RX-Z didatangkan dengan kotak gear 5-kelajuan, sebelum ianya dinaik taraf dengan kotak gear 6-kelajuan beberapa tahun selepas itu. Dari segi reka bentuknya, Yamaha RX-Z diakui mempunyai penampilan yang sporty dan maskulin, jadi tidak hairanlah ianya sentiasa mendominasi pasaran pada suatu ketika dahulu. Generasi kedua Yamaha RX-Z muncul pada tahun 2004, yang mana reka bentuk lampu belakangnya mengambil ilham daripada model Yamaha Y125Z, termasuk rekaan semula bahagian kepala depan yang lebih menarik.

Yamaha RX-Z generasi terbaharu juga dilengkapi ekzos dengan teknologi ‘catalytic converter’, yang bukan saja meningkatkan sedikit kuasa enjin, malah ianya mempunyai keupayaan mengurangkan pengeluaran asap cemar. Walaupun masih mendapat permintaan hangat sewaktu ianya masih dijual, Hong Leong Yamaha Motor. Sdn. Bhd. (HLYM) akhirnya telah menamatkan pengeluaran Yamaha RX-Z pada tahun 2011. Sebab-sebab penamatan pengeluaran model tersebut agak kurang jelas, kerana sebuah lagi model dengan enjin dua lejang iaitu Yamaha 125ZR masih dijual sehingga kini.

Walaupun telah ditamatkan pengeluarannya, kelibat Yamaha RX-Z sehingga kini masih dapat dilihat di mana-mana. Model ini sangat terkenal di kalangan golongan remaja dan anak muda yang berusia dalam lingkungan 20-an tahun, serta seringkali dikaitkan dengan gejala Mat Rempit dan aktiviti perlumbaan haram. Sama seperti Honda EX-5, Yamaha RX-Z boleh dikatakan telah mencapai taraf legenda dan menjadi salah sebuah model motosikal yang sangat terkenal di pasaran tempatan.

Sejak lebih setahun yang lalu, timbul ura-ura dan khabar angin bahawa HLYM sedang mempertimbangkan rancangan untuk memperkenalkan kembali Yamaha RX-Z ke pasaran. Ini kerana model tersebut masih mendapat permintaan dari ramai peminat, dan HLYM telah mendapat maklum balas yang cukup menggalakkan sejak pengeluaran model itu dihentikan beberapa tahun yang lepas. Malah ada sumber yang mengatakan Yamaha RX-Z akan kembali ke pasaran dalam tempoh beberapa bulan lagi, namun kesahihan maklumat tersebut tidak dapat dipastikan.

Seandainya Yamaha RX-Z diperkenalkan kembali ke pasaran tempatan, mungkin ianya hanya akan dikeluarkan dalam jumlah terhad berdasarkan permintaan dan tempahan. Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh HLYM ialah untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang sejak sekian lama mahu semua pengeluar motosikal menghentikan pengeluaran motosikal dengan enjin dua lejang, atas alasan alam sekitar. Namun apa yang boleh dikatakan, selagi pengeluaran Modenas Dinamik berjalan seperti biasa, HLYM masih mempunyai peluang.

Namun jika kita semua terus memandang ke hadapan, era masa kini adalah untuk motosikal dengan enjin empat lejang yang lebih mesra alam sekitar. Motosikal dengan enjin dua lejang boleh dikatakan telah dan bakal tinggal di dalam lipatan sejarah sahaja. Jika Yamaha RX-Z muncul kembali selepas ini, nyata bahawa ianya adalah di atas pertimbangan perniagaan semata-mata, yang mana selagi ada permintaan, bermakna selagi itulah syarikat pengeluar motosikal mampu menjana keuntungan.

Sumber gambar: Pakwheels.com.