Toyota Passo 2016 diperkenalkan untuk pasaran Jepun

0
310

2016 Toyota Passo Moda G package (004)

Bermula 12 April 2016 yang lepas, model kompak Toyota Passo 2016 serba baharu telah memulakan jualannya secara rasmi di pasaran Jepun. Toyota Passo 2016 serba baharu merupakan sebuah model yang diasaskan daripada model Daihatsu Boon 2016 serba baharu, jadi tidak hairanlah penampilan dan reka bentuk kedua-dua model berkenaan adalah sangat mirip. 

Menurut Toyota, Passo 2016 serba baharu merupakan sebuah model kenderaan yang sangat sesuai untuk pemanduan di dalam bandar, pada harga jualan yang berpatutan dan menjimatkan kos, mudah dikendalikan, serta hadir dengan ciri pemanduan yang selamat dalam pakej kompak. Toyota Passo 2016 serba baharu boleh didapati dalam pilihan dua gred – gred X dan gred terbaharu Moda, yang memberikannya penampilan yang lebih menarik dan bergaya.

Toyota Passo 2016 (001)

Klik gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas

Setiap varian dilengkapi enjin 1.0 liter dengan transmisi CVT (continuously variable transmission), termasuk padanan sistem pacuan roda depan dan sistem pacuan empat roda. Bagi model dengan sistem pacuan roda depan, ianya mencapai tahap kecekapan bahan api 28.0 km/liter, manakala model dengan sistem pacuan empat roda mencapai tahap kecekapan sehingga 24.4 km/liter.

Toyota Passo 2016 serba baharu didatangkan dengan teknologi Smart Assist II, sistem bantuan yang mampu mengelakkan perlanggaran yang dibangunkan oleh Daihatsu, yang mana ianya merupakan kelengkapan standard untuk hampir semua varian. Harga jualan Toyota Passo 2016 serba baharu untuk pasaran Jepun bermula dari 1,150,200 yen sehingga 1,830,600 yen.

Toyota Passo 2016 (002)

Klik gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas

Dengan pengenalan Toyota Passo 2016 serba baharu dan Daihatsu Boon 2016 serba baharu untuk pasaran Jepun, dijangkakan model semasa Perodua Myvi di pasaran Malaysia ketika ini bakal digantikan dengan generasi serba baharu mulai tahun 2017 atau 2018. Perodua Myvi 2017 @ 2018 sudah semestinya dibangunkan daripada model Daihatsu Boon 2016 serba baharu.