HLYM perkenal Yamaha YZF-R25 2016 dengan pilihan dua warna terbaharu – Biru & Kelabu

0
427

Yamaha-YZF-R25-2016-001

Motosikal berkuasa tinggi dalam kelas permulaan, Yamaha YZF-R25, secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam bulan Februari 2015 yang lalu. Kini selepas lebih setahun ianya berada di pasaran, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah memperkenalkan edisi tahun 2016 untuk model berkenaan, yang kini didatangkan dalam pilihan warna dan grafik terkini.

Yamaha YZF-R25 model tahun 2016 kini tampil dalam pilihan warna Biru (Blue) dan Kelabu (Grey), dengan corak grafik yang kelihatan lebih sporty berbanding model sebelumnya. Dari segi teknikal, YZF-R25 2016 masih mengekalkan spesifikasi enjin 250cc (4-Stroke, 8 Valve DOHC) dengan kuasa maksimum 26.5kW @ 12,000rpm dan tork maksimum 22.6N.m @ 10,000rpm.

Setakat ini, Yamaha YZF-R25 merupakan sebuah model dalam kelas 250cc yang mencatatkan jumlah jualan yang cukup menggalakkan. Ini mungkin disebabkan oleh kekuatan jenama Yamaha itu sendiri, di samping reka bentuk model berkenaan yang diakui cukup sporty dan garang. Selain itu, prestasi enjin model berkenaan juga antara penyebab kenapa ianya laris di pasaran.