Kemunculan perdana Bugatti Chiron di Geneva 2016

0
166

Bugatti Chiron (002)

Jenama pengeluar kereta super sport terkenal dunia Bugatti rasanya tidak perlu diumumkan lagi kehebatannya. Kemunculan semula syarikat tersebut di bawah pengurusan baru Volkswagen pada tahun 1998 ternyata membawa tuah, membolehkan pengenalan model antara yang terkenal di dunia iaitu Bugatti Veyron (model terakhir Veyron Grand Sport Vitesse dijual pada Feb. 2015).

Selepas berakhirnya era Veyron, adakah Bugatti sudah mencapai kemuncak prestasinya dalam menghasilkan kereta super sport berprestasi tinggi pada tahap yang tidak mungkin dapat dibayangkan? Nampaknya masih terlalu banyak ruang untuk Bugatti membuktikan kemampuannya, seperti mana yang diperlihatkan olehnya melalui model terbaru Bugatti Chiron yang membuat kemunculan perdana di Geneva Motor Show 2016 (3 – 13 Mac 2016).

Bugatti Chiron didakwa oleh pengeluarnya sebagai sebuah model super sport versi produksi paling berkuasa, paling pantas, paling mewah dan paling eksklusif di dunia. Dibangunkan serba baru sepenuhnya, Chiron dikuasakan enjin W16 bersesaran 8.0 liter yang juga dibangunkan serba baru oleh Bugatti, menghasilkan kuasa maksimum luar biasa 1,500hp dengan tork maksimum 1,600Nm di antara 2,000 dan 6,000rpm, dengan kemampuan prestasi kawalan yang mengujakan pada semua tahap kelajuan.

Setakat ini Bugatti Chiron dikatakan bakal memecahkan rekod kelajuan dunia semasa yang ketika ini turut dipegang oleh Bugatti melalui model Veyron. Melihat kepada kelajuan maksimum 420 km/j yang direkodkan oleh Chiron setelah kelajuannya dihadkan secara eletronik, di samping jarum meter yang mencapai angka 500 km/j, ternyata tugas untuk merekodkan kelajuan terbaru dunia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Bugatti Chiron akan dikeluarkan dalam edisi terhad sebanyak 500 unit sahaja untuk pasaran di seluruh dunia, dengan harga asasnya €2.4 juta (RM14,035672.10 mengikut kadar tukaran wang semasa). Pemasarannya akan bermula dalam musim luruh 2016 akan datang. Jadi, siapakah bakal pemilik Bugatti Chiron tidak lama lagi? Adakah salah seorangnya ialah Sultan Johor?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here