
Memandangkan situasi keselamatan yang tidak menentu walau di mana saja kita berada ketika ini, maka Range Rover Sentinel terbaharu telah diperkenalkan sebagai sebuah kubu bergerak yang dapat melindungi penumpang di dalamnya dalam situasi merbahaya seperti serangan senjata api dan juga bahan letupan.
Range Rover Sentinel merupakan sebuah kenderaan berperisai mewah pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh divisyen Special Vehicle Operations (SVO) milik Land Rover, merupakan buatan tangan (hand built) dari fasiliti di Oxford Road, di mana ianya memberikan perlindungan pada tahap tertinggi daripada sebarang jenis serangan yang pelbagai.
Range Rover Sentinel diasaskan daripada model Range Rover Autobiography versi jarak roda standard. Ianya menawarkan keselesaan, posisi arahan pemanduan (command driving position) dan segala keupayaan (all-terrain capability) sesebuah model Range Rover. Di samping memberikan ketenangan minda melalui tahap perlindungan luar biasanya, penampilan luaran Sentinel kekal bagaikan model standard.
Menurut Land Rover, Sentinel telah diiktiraf dengan tahap perlindungan VR8, yang mana ianya mengesahkan lagi bahawa SUV istimewa itu mempunyai rintangan balistik dan letupan yang mengagumkan. Range Rover Sentinel telah dipertontonkan kepada umum buat pertama kali di acara “Defence and Security Equipment International (DSEI) Show” yang diadakan pada 15 – 18 September 2015 baru-baru ini.
Range Rover Sentinel mensasarkan pasaran eksport dan dibina melalui pesanan khas pada tanda harga €400,000 (excl. taxes). Untuk pelanggan yang obses dengan keselamatan diri dan bimbangkan serangan pengganas yang tidak terduga, Sentinel merupakan salah satu pilihan yang ideal.