Hyundai i20 Active crossover kompak terbaru yang ranggi

0
106

New Hyundai i20 Active (001)

Bertempat di Frankfurt International Motor Show 2015 yang berlangsung dalam bulan September yang lepas, Hyundai telah memperkenalkan sebuah model crossover kompak terbarunya – Hyundai i20 Active. Model tersebut hadir dengan penampilan luaran yang ranggi untuk pelanggan yang mahukan gaya hidup aktif.

Kemunculan i20 Active secara tidak langsung memperluaskan lagi pilihan di kalangan model i20, yang sebelum itu ditawarkan sebagai model lima pintu yang praktikal dan model lebih sporty i20 Coupe. Selain itu, ini menjadikan model crossover dan SUV yang ditawarkan oleh Hyundai di pasaran Eropah kepada empat model, di samping model Tucson serba baharu, Santa Fe terbaru dan Grand Santa Fe terbaru. i20 Active bagaimanapun tidak akan ditawarkan di pasaran UK.

Hyundai i20 Active akan dikuasakan enjin terbaru yang cekap iaitu enjin 1.0 liter T-GDI, yang mana enjin berkenaan juga akan ditawarkan untuk model i20 yang lain mulai awal 2016. Enjin Kappa tiga silinder terbaru itu didatangkan dengan teknologi turbocas dan sistem suntikan terus (turbocharged direct injection engine), yang menghasilkan dua pilihan kuasa sama ada 100PS atau 120PS (bergantung kepada varian), manakala kuasa tork masing-masing setinggi 171.6Nm @ 1,500rpm.

Sistem transmisi untuk i20 Active 100PS ialah manual lima kelajuan, sementara i20 Active 120PS dilengkapi transmisi manual enam kelajuan. Pilihan enjin lain yang turut ditawarkan untuk i20 Active ini ialah enjin Kappa 1.4 liter yang menghasilkan kuasa 100PS dan 134.4Nm tork. Sebagai alternatif untuk enjin petrol, enjin diesel 1.4 liter U II dengan kuasa 90PS juga boleh didapati sebagai pilihan tambahan untuk i20 Active.

Sama seperti model i20 yang lain, i20 Active direka dan dibangunkan di Eropah. i20 Active akan dikeluarkan dari kilang Hyundai yang terletak di Izmit, Turki, iaitu kilang Hyundai Assan Otomotiv Sanayi (HAOS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here