Dani Pedrosa juara MotoGP Malaysia, Rossi dituduh menjatuhkan Marquez

0
130

Keputusan MotoGP Sepang 2015

Memang panas perlumbaan MotoGP Malaysia (Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang kali ini. Ianya bukan disebabkan oleh kemenangan yang diraih oleh Dani Pedrosa daripada pasukan Repsol Honda Team, tetapi lebih kepada insiden di antara Rossi dan Marque.

Perlumbaan yang berlangsung pada petang tadi menyaksikan Rossi telah menjatuhkan Marquez sewaktu kedua-dua pelumba itu saling bersaing sengit. Bagaimanapun ada cerita tersendiri di sebalik insiden tersebut, yang menyebabkan laman sosial hangat dengan perbahasan sama ada Rossi yang bersalah, atau Marquez sendiri yang sengaja mencari pasal kerana mempunyai niat tidak baik terhadap Rossi.

Berdasarkan pemerhatian saya terhadap perbincangan di dalam laman sosial Facebook sama ada dari dalam negara mahu pun di luar negara, Marquez yang berasal dari negara Sepanyol itu dikatakan cuba memperlahankan tunggangan Rossi demi memastikan rakan senegaranya Jorge Lorenzo menjuarai perlumbaan tersebut demi menambah mata untuk memburu kejuaraan di Litar Valencia nanti.

Ketika ini Lorenzo merupakan rakan sepasukan Rossi dalam pasukan Movistar Yamaha MotoGP, namun perbezaan mata di antara kedua-duanya sangat hampir. Ini memungkinkan Lorenzo untuk memintas Rossi pada perlumbaan terakhir di litar Valencia pada 8 November 2015 akan datang bagi memburu takhta kejuaraan musim ini. Tamat perlumbaan tadi, Rossi mengumpul 312 mata setelah berjaya menduduki podium di tempat ketiga, sementara Lorenzo dengan 305 mata setelah menang di tempat kedua.

Jadi di sinilah timbul teori konspirasi kononnya dalam perlumbaan tadi, Marquez sengaja mahu membantu Lorenzo bagi mendapatkan kemenangan dengan bertindak sebagai pengacau kepada Rossi. Alasan yang diberikan oleh ramai pengkritik Marquez di dalam laman Facebook ialah kerana Marquez mahu Lorenzo menjadi juara MotoGP 2015 kerana kedua-dua mereka berasal dari Sepanyol.

Aksi di antara Rossi dan Marquez dalam perlumbaan tadi secara jelas menunjukkan Marquez seakan-akan cuba mengganggu pecutan Rossi, namun tanpa disangka-sangka Rossi hilang sabar dan dengan sedikit pergerakan lututnya sahaja telah menyebabkan Marquez terjatuh seterusnya terkeluar dari perlumbaan. Insiden tersebut kelihatan agak lucu namun hakikatnya misi Marquez untuk membantu Lorenzo berjaya.

Ini kerana Rossi telah dikenakan penalti apabila ditolak tiga mata, dan lebih malang lagi terpaksa memulakan perlumbaan di petak paling belakang di Valencia nanti. Rossi ternyata kecewa dengan hukuman yang diputuskan oleh pihak penganjur terhadap dirinya itu dan secara terang-terangan dia menyalahkan Marquez dalam perlumbaan di Litar Sepang tadi kerana sengaja memberi masalah kepadanya.

Dalam perlumbaan akhir di Valencia nanti, mampukah Rossi mencipta peluang untuk muncul sebagai juara dunia MotoGP 2015 dengan mengalahkan Lorenzo? Di atas kertas, ianya kelihatan sukar kerana Lorenzo mempunyai peluang yang lebih baik disebabkan Rossi hanya akan memulakan perlumbaan dari petak belakang. Bagaimanapun, para peminat Rossi tetap mengharapkan keajaiban akan berlaku.

Sumber : MotoGP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here