
Yamaha Exciter 150 telah pun dilancarkan di pasaran Thailand, anda boleh melihat imej-imej ‘screenshot’ daripada ‘brochure’ model berkenaan yang penulis siarkan tempoh hari di sini. Pada 31 Mac 2015 yang lalu pula, Yamaha Motor Thailand telah menyiarkan sebuah video yang cukup menarik bagi menjelaskan lagi spesifikasi dan kemampuannya, melalui laman perkongsian video YouTube seperti di bawah.
Selain reka bentuknya yang kelihatan lebih sporty dan segak, apa yang menariknya mengenai Yamaha Exciter 150 ini ialah enjinnya yang telah dinaik taraf kepada 150cc berbanding model sebelumnya dengan enjin 135cc. Apabila kapasiti enjin telah ditingkatkan, pada pendapat anda adakah Yamaha Exciter 150 mempunyai kelajuan yang mengujakan, atau biasa-biasa sahaja seperti mana yang sering dikritik oleh pemilik Yamaha 135LC di pasaran negara kita?
Berdasarkan video YouTube di atas, terbukti bahawa peningkatan enjin Yamaha Exciter 150 tidak sia-sia. Video tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa Yamaha Exciter 150 mampu memecut sehingga 138 km/j, kadar kelajuan yang cukup memuaskan untuk sesebuah moped bagi segmennya. Pasti selepas ini para peminat Yamaha di Malaysia berpuas hati dengan kemampuan motosikal terbaharu mereka yang akan diberi nama Yamaha 150LC.