BRABUS buka cawangan terbaharu di Glenmarie, Shah Alam

0
83

Syarikat penalaan kenderaan terkenal BRABUS dari Jerman, kini telah membuka cawangan terbaharunya yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Bilik pameran dan pusat prestasi (Showroom and Performance Centre) BRABUS itu dikendalikan oleh Naza-Brabus Motors Sdn Bhd, anak syarikat kepada NAZA Group of Companies.

Cawangan terbaharu itu secara tidak langsung meluaskan lagi rangkaian perkhidmatan BRABUS di Malaysia yang sebelum ini beroperasi di NAZA Automall Petaling Jaya.

Dengan pelaburan bernilai RM6 juta, bilik pameran terbaharu BRABUS di Glenmarie, Shah Alam berkeluasan 5,000 kaki persegi. Antara model-model yang dipamerkan di situ adalah seperti BRABUS ML WideStar, BRABUS iBusiness S class dan BRABUS SLK.

Pusat prestasi terbaharu BRABUS pula terletak hanya 500 meter dari bilik pameran dengan keluasan 25,000 kaki persegi. Fasiliti tersebut dilengkapi lapan ruang servis dan dikendalikan oleh 10 orang kakitangan, lima daripadanya merupakan juruteknik terlatih BRABUS.

Pusat prestasi itu bertindak sebagai pusat penyelesaian sehenti untuk pemilik Mercedes-Benz dan BRABUS, dengan menawarkan perkhidmatan seperti penukaran kit BRABUS, penalaan enjin, naik taraf prestasi, penyelenggaraan berjadual, pembaikan dan juga penggantian tayar dan penjajaran.

Sewaktu pelancaran, Naza-Brabus Sdn Bhd turut mempamerkan model BRABUS CLS Rocket 730, salah satu contoh model mewah berprestasi tinggi yang ditala oleh pusat prestasi terbaharunya sendiri.

Diasaskan daripada model Mercedes-Benz CLS63 AMG, Rocket 730 menawarkan pelbagai peningkatan menyeluruh yang disahkan oleh BRABUS GmbH dengan hamburan kuasa daripada enjin 5.5 liter bi-turbo setinggi 730hp dan tork maksimum 1,065Nm.

Prestasi mewah tersebut membolehkan Rocket 730 memecut dari 0 ke 100 km/h dalam tempoh masa hanya 3.8 saat dengan kadar pecutan puncak 350 km/j.

Bilik pameran terbaharu BRABUS dibuka pada setiap hari dari jam 9.00 pagi ke jam 6.00 petang. Pusat prestasi BRABUS pula beroperasi dari jam 8.30 pagi ke 5.00 petang, dan jam 8.30 pagi ke 1.00 tengah hari pada hari Sabtu.

Galeri : BRABUS Showroom and Performance Centre 

 

Galeri : BRABUS CLS Rocket 730

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here