Siaran Akhbar : Proton memperkenalkan Proton IRIZ, ‘hot hatch’ dalam Segmen-B paling mampu untuk dimiliki

0
206

Proton Holdings Berhad (Proton) pada tarikh 25 September 2014 (Jumaat) yang lalu secara rasminya memperkenalkan model kereta kompaknya yang paling dinanti-nantikan, yang bukan sahaja tampil dengan rekaan yang cukup bergaya malah berteknologi tinggi.

Bertempat di kilang Proton yang terletak di Tanjung Malik, Perak, Proton IRIZ, yang mana sebelum itu dikenali dengan kod nama Proton Compact Car (PCC), telah dilancarkan oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan Pengerusi Proton. Turut sama di dalam majlis tersebut ialah Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, dan pegawai-pegawai pengurusan kanan Proton.

Pelancaran model tersebut menandakan kemasukan Proton ke pasaran kereta kompak Segmen-B dengan hasrat untuk meraih pasaran yang lebih luas dalam industri automotif tempatan. Menampilkan rekaan yang berani, kejuruteraan berkualiti, ciri-ciri dan teknologi yang inovatif namun pada harga mampu milik, Proton IRIZ ditawarkan dalam tiga pilihan varian – Standard, Executive dan Premium.

Direka untuk memenuhi permintaan gaya hidup moden masa kini, Proton IRIZ dikuasakan enjin VVT empat silinder terbaharu yang dibangunkan Proton, dengan pilihan transmisi sama ada manual lima kelajuan atau CVT. Model 1.3 didatangkan dalam pilihan varian Standard dan Executive manakala model 1.6 liter boleh didapati dalam varian Executive dan Premium.

Proton IRIZ merupakan produk keluaran Proton paling lengkap setakat ini. Model kompak berkenaan dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif yang didatangkan sebagai ciri-ciri standard, antaranya ialah ABS (Anti-lock Braking System), EBD (Electronic Brake-force Distribution), ‘Traction Control’, ‘Brake Assist’, ‘Hill Hold Assist’ untuk mengelakkan kereta mengundur kembali ke belakang atau ke depan apabila berhenti di laluan mendaki atau menuruni bukit, dan juga sistem peringatan tali pinggang keledar.

Selain daripada ciri-ciri dan teknologi termaju yang memberi kemudahan di hujung jari, Proton IRIZ juga dilengkapi sistem EPS (Electric Power Steering) pintar untuk pemanduan yang lebih selesa dan pengendalian unggul. Kereta kompak ‘hot hatch’ serba baharu itu turut dipasang ciri-ciri keselamatan pasif sebagai pilihan untuk varian Premium – enam beg udara, cermin kuasa anti perangkap di sebelah pemandu, kemasukan tanpa kunci, sistem penggera dan lampu LED nyala siang hari yang diintegrasikan sepenuhnya. Ciri-ciri tersebut kebiasaannya ditemui pada model-model lebih tinggi seperti BMW 3-Siri, Volkswagen Jetta dan Audi A4.

Ciri lain yang dipanggil ‘Impact Sensing Door Unlock’ juga dipasang. Sistem tersebut berfungsi apabila ia mengesan berlakunya perlanggaran, dengan menyahkunci semua pintu secara automatik untuk membolehkan penumpang diselamatkan dengan pantas. Tidak dilupakan, struktur binaan pada model berkenaan yang memberikan kekuatan dan ketahanan sekiranya berlaku perlanggaran – struktur ‘Hot Press Forming (HPF)’ yang menjadi kebangaan Proton untuk memilikinya.

Sebagai satu-satunya negara ke-6 di dunia yang mengguna pakai teknologi dari Jerman itu dan negara ASEAN tunggal yang melabur dalam pengeluarannya, struktur HPF membantu menjadikan berat badan kereta stabil pada tahap optimum sambil memastikan ruang kabin penumpang bertahan lebih lama sewaktu berlakunya impak.

Varian Premium juga dilengkapi dengan kamera undur. Juga terdapat titik pelekatan ISOFIX untuk keselamatan tempat duduk kanak-kanak, kesemuanya memenuhi garis piawaian ketat pasaran antarabangsa di samping mewujudkan kesedaran dan kesediaan untuk pasaran tempatan. Proton IRIZ didatangkan dengan standard keselamatan tertinggi dengan penarafan 5-Bintang yang dianugerahkan oleh ASEAN NCAP. Proton akan terus menambahbaik dan membangunkan prestasi kereta yang memenuhi peraturan keselamatan global.

Proton IRIZ kini boleh dipandu uji di semua bilik pameran bertauliah Proton di seluruh negara. Tujuh warna ditawarkan iaitu ‘Fire Red’, ‘Atlantic Blue’, ‘Genetic Silver’, ‘Proton White’, ‘Tranquility Black’ dan dua warna terbaharu eksklusif untuk Proton IRIZ – ‘Citrus Green’ dan ‘Silver Moon Dust’.

Harga di atas jalan untuk Proton IRIZ bermula dari RM42,438.00 (Standard), dari RM46,438.00 (Executive) dan dari RM59,438.00 untuk varian Premium.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here