Peraturan baru cermin gelap bermula 1 November 2014

0
47

Maklumat penting untuk semua pemilik kereta di Malaysia. Menurut laporan yang disiarkan Bernama hari ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan penguatkuasaan peraturan baru berhubung penggunaan cermin gelap mulai 1 November 2014 depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dilaporkan berkata, pelaksanaan peraturan baru itu menetapkan kadar ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50% kepada 30%. Manakala kadar VLT bagi cermin hadapan dan sisi pemandu pula masing-masing kekal pada kadar 70% dan 50%.

“Peraturan ini selaras dengan standard atau piawaian antarabangsa di beberapa negara luar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Ketua Pengarah JPJ bersama anggota penguatkuasa dan pemeriksa kereta motor peringkat zon selatan hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata peraturan baru itu terpakai kepada semua kenderaan di negara ini termasuk untuk kereta import.

Ismail berkata pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan baru itu boleh dikompaun RM300 dan sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua minggu atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

Pengecualian terhadap peraturan itu hanya diberikan kepada penggunaan kenderaan bagi beberapa jawatan tertentu seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan, perdana menteri, timbalan perdana menteri, ketua menteri, ketua hakim dan juga kenderaan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya lagi pengecualian peraturan itu adalah bertujuan untuk keselamatan individu berkenaan dan juga anggota penguatkuasaan dalam melaksanakan operasi pencegahan jenayah yang berisiko tinggi.

Sumber : Malaysian Insider

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here