
Land Rover baru-baru ini telah memperkenalkan Discovery Sport terbaharu, sebuah model SUV kompak premium serba boleh yang dikatakan paling versatil di dunia. Model berkenaan menampilkan tempat duduk 5+2 dalam kerangka kenderaan yang mempunyai ukuran tidak lebih daripada SUV premium lima tempat duduk sedia ada.
Bermula pelancarannya di pasaran UK, Discovery Sport terbaharu akan dilengkapi enjin turbodiesel SD4 2.2 liter dengan kuasa 190 PS, bersama-sama teknologi ‘stop-start’, sistem suntikan terus bertekanan tinggi, komponen-komponen dalaman bergeseran rendah dan pengecas regeneratif pintar untuk prestasi dan ekonomi yang cemerlang.
Kedua-dua sistem transmisi sama ada automatik 9-kelajuan atau manual 6-kelajuan tersedia untuk model berkenaan. Kemudian pada tahun 2015, enjin turbodiesel eD4 pacuan dua roda bercekapan tinggi akan menyertai barisan sistem penjana kuasa sedia ada dengan emisi CO2 serendah dari hanya 119g/km (tertakhluk kepada homologasi).
Land Rover Discovery Sport terbaharu akan dikeluarkan dari fasiliti pengeluaran Land Rover yang pernah memenangi anugerah di Halewood, Liverpool. Jualannya akan bermula dalam bulan Januari 2015 di pasaran UK bersama-sama model sedia ada Land Rover Discovery dengan tujuh tempat duduk.