Proton anjur hari terbuka “Alami Proton” pada 27 dan 28 September 2014 (Sabtu & Ahad)

0
82

Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Berhad (Proton) akan menganjurkan hari terbuka bertemakan “Alami Proton” pada tarikh 27 dan 28 September 2014 bertempat di Kompleks Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam, Selangor.

Orang ramai dijemput hadir ke program tersebut yang akan diisi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti pertunjukan teknologi dan kejuruteraan automotif Proton, pelbagai permainan luar dan dalam yang menyeronokkan untuk seisi keluarga, juga disediakan sesi pandu uji dan demo kereta Proton, R3 dan Lotus.

Selain itu orang ramai turut berpeluang melawat bahagian R&D (Research and Development) dan fasiliti kilang Medium Volume Factory (MVF). Artis-artis tempatan juga dijemput untuk membuat pertunjukan dalam karnival yang diadakan selama dua hari itu.

Menambahkan lagi keseronokan ialah pelancaran model kompak terbaharu Proton yang mana para pengunjung akan berpeluang memandu uji model berkenaan. Lebih menarik lagi ialah acara utama yang disediakan oleh Proton iaitu cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik seperti basikal dan motosikal, serta hadiah utama berupa sebuah model kompak terbaharu Proton.

Hari terbuka “Alami Proton” akan bermula dari jam 10.00 pagi sehingga jam 10.00 malam pada 27 September, manakala pada 28 September program akan bermula dari jam 10.00 pagi dan akan ditutup dengan rasminya pada jam 6.00 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here