Perodua Axia dilancarkan dengan 13,500 tempahan diterima

0
213

Pada hari Isnin yang lepas bersamaan 15 September 2014, Perodua Axia yang merupakan model kesepuluh Perodua telah dilancarkan dengan 13,500 unit tempahan telah diterima daripada orang ramai. Pada masa yang sama Perodua turut melakukan kejutan apabila memperkenalkan semua varian Axia pada harga lebih mampu milik.

Perodua Axia mencatatkan sejarahnya yang tersendiri sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama yang diperkenalkan di Malaysia dan rekod baharu untuk Perodua bagi jumlah tempahan yang diterima untuk model terbaharu sebelum ianya dilancarkan. Pelancaran Perodua Axia dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri di Kuala Lumpur.

Turut hadir bersama-sama di dalam majlis pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, Duta Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Makio Miyagawa, Pengerusi Perodua, YBhg Tan Sri Asmat Kamaludin; dan Pengerusi Daihatsu Motor Company, En. Koichi Ina.

Perodua Axia merupakan model kereta pertama yang dikeluarkan dari kemudahan pengeluaran terbaharu Perodua yang moden dan mesra alam; Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB). Kenderaan EEV paling terkini yang ditawarkan oleh Perodua itu dibangunkan oleh syarikat tempatan dengan sokongan daripada rakan niaganya, Daihatsu Motor Company of Japan (DMC).

Perodua Axia mempunyai potensi untuk bergerak sejauh 21.6 km/l, mempunyai ruang dalaman yang luas dan selesa serta dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik untuk rakyat Malaysia. Secara keseluruhannya, kos pemilikan Perodua Axia tersedia bersama-sama pakej semua di dalam satu untuk setiap rakyat Malaysia pada harga permulaan serendah dari RM24,600.00RM42,530.00 (Semenanjung Malaysia).

Menurut Perodua, Axia dibangunkan mengikut standard dalam 4 kategori utama yang dikenali sebagai 4E, iaitu ‘environmentally friendly’ (mesra alam), ‘extra spacious for a compact vehicle’ (ruang lebih luas untuk kenderaan kompak), ‘easy driving’ (pemanduan yang mudah) dan ‘economical in terms of the overall cost of ownership’ (ekonomi dari segi kos pemilikan keseluruhan).

Perodua Axia didatangkan dalam empat varian; Standard E, Standard G, Special Edition (SE) dan Advance. Ianya turut ditawarkan jaminan selama 5-tahun – tempoh jaminan lebih panjang yang pertama kali diperkenalkan oleh Perodua. Dengan slogan “Your Smart Move”, kereta kompak tersebut mewakili usaha Perodua untuk menjadi lebih kompetetif di peringkat global dari segi kualiti, gaya, ciri-ciri dan harga. Slogan tersebut juga menandakan kereta tersebut adalah pembelian pintar.

Perodua Axia didatangkan dengan pilihan lapan warna luaran seperti ‘Ivory White’, ‘Glittering Silver’, ‘Ebony Black’, ‘Moonlight Blue’ (warna-warna sedia ada) dan warna-warna terbaru ‘Cherry Blossom’, ‘Lemon Grass Green’, ‘Sunflower Yellow’ dan ‘Lava Red’. Perodua Axia kini boleh dilihat dengan lebih dekat di semua 180 buah bilik pameran Perodua di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here