Proton Iriz akan dilancarkan pada tarikh 25 September 2014 (Khamis), harga dijangka sama seperti Perodua Myvi

0
110

Proton secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran model kompak terbaharunya Proton Iriz yang akan berlangsung pada 25 September 2014 (Khamis). Proton Iriz yang juga dikenali dengan kod nama Proton Compact Car bakal dilancarkan bertempat di kilang berteknologi tinggi Proton yang terletak di Tanjung Malim.

Pada tarikh 27 dan 28 September pula, Proton akan menganjurkan hari terbuka bersama pelanggan di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam, Selangor, bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat model itu dengan lebih dekat. Apabila dilancarkan nanti, Proton Iriz akan ditawarkan dalam pilihan lapan varian seperti senarai berikut :

  • Proton Iriz 1.3 MT (Standard)
  • Proton Iriz 1.3 CVT (Standard)
  • Proton Iriz 1.3 MT (Executive)
  • Proton Iriz 1.3 CVT (Executive)
  • Proton Iriz 1.6 MT (Executive)
  • Proton Iriz 1.6 CVT (Executive)
  • Proton Iriz 1.6 MT (Premium)
  • Proton Iriz 1.6 CVT (Premium)

Proton Iriz akan dilengkapi dua varian enjin yang dibangunkan sendiri oleh Proton, bersesaran 1.3 liter dan 1.6 liter. Enjin yang menggunakan teknologi VVT itu dipadankan transmisi manual lima kelajuan dan automatik CVT. Enjin empat silinder bagi unit 1.3 liter menghasilkan kuasa 94hp @ 5,500rpm dengan tork maksimum 120Nm @ 4,000rpm, manakala enjin 1.6 liter menghasilkan kuasa setinggi 105hp @ 5,750rpm dengan tork maksimum 150Nm @ 3,750rpm (sumber Paultan.org).

Proton Iriz akan didatangkan dalam pilihan tujuh warna, antaranya termasuk dua warna terbaru Lime Green dan Moon Dust Silver. Menurut Proton, model kompak Iriz dibangunkan bermula tahun 2010 yang lalu dengan menelan kos R & D keseluruhan sebanyak RM500.00 juta. Antara pencapaian model tersebut ialah menerima penarafan 5-Bintang dari ASEAN NCAP bagi ujian standard keselamatan, serta kadar penggunaan petrol di bawah 7 liter bagi setiap 100 kilometer.

Selain itu, Proton Iriz dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik seperti sistem ABS dengan EBD, TCS, Hill Hold Assist dan enam beg udara (untuk varian Premium). Proton Iriz juga memiliki kerangka yang kukuh hasil penggunaan teknologi Hot Press-Formed (HPF) dan Ultra High-Strength Steel (UHSS) di beberapa bahagian utamanya (sumber dari Funtasticko.net).

Dijangka akan mula diserahkan kepada pembeli mulai Oktober ini, harga Proton Iriz masih lagi menjadi rahsia. Namun pihak Proton telah memberikan bayangan bahawa harga Proton Iriz ialah di antara RM40,000.00 sehingga RM60,000.00, tanda harga sama yang ditawarkan untuk model Perodua Myvi yang bakal menjadi saingan utamanya (kereta kompak segmen B).

Sumber artikel : BH Auto

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here