Lagi info mengenai Proton Compact Car @ Proton Iriz

0
103

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, penulis menjadi agak sibuk disebabkan urusan seharian yang boleh dikatakan sangat padat. Ditambah lagi dengan kerja-kerja di pejabat yang kian menimbun, telah menyebabkan penulis tidak sempat mengemaskini blog KeretaMoto.com dengan lebih kerap seperti kebiasaannya.

Bagaimanapun kali ini penulis cuba berkongsi maklumat-maklumat tambahan terkini mengenai model kompak terbaharu Proton Compact Car (PCC), atau bakal dikenali dengan nama rasmi Proton Iriz. Maklumat-maklumat ini penulis perolehi daripada salah seorang sahabat penulis yang baru-baru ini sempat memandu uji model berkenaan.

Menurut sahabat penulis itu, Proton Iriz akan didatangkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium. Untuk lebih jelas, varian Standard hanya akan ditawarkan dengan enjin 1.3 liter (manual 5-kelajuan dan CVT 6-kelajuan), manakala varian Executive tersedia pilihan enjin 1.3 dan 1.6 liter, juga dipadankan transmisi manual dan CVT. Varian teratas ialah varian Premium yang hanya didatangkan dalam pilihan tunggal 1.6 CVT Premium.

Proton Iriz akan dilengkapi enjin VVT tanpa sistem turbo, di mana enjin tersebut dikatakan 10 peratus lebih jimat petrol berbanding enjin Campro IAFM. Tujuh warna luaran menarik tersedia untuk dipilih, iaitu Tranquility Black, Solid White, Genetic Silver, Atlantic Blue, Fire Red, Citrus Green dan Silver Moon Dust.

Berkenaan harga, sahabat penulis itu mengatakan harga Proton Iriz dijangka akan diletakkan pada paras mampu milik bermula dari RM40K – RM60K, Perodua Myvi ‘killer’ tu. Lebih menarik dan mengujakan lagi, semua varian akan dilengkapi sistem ‘Vehicle Dynamics Control (VDC)’, yang terdiri daripada gabungan sistem ABS & EBD, ESC, TC dan juga BA.

Adakah Proton Iriz ini sebuah model kompak yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik? Anda nilaikan sendiri, apabila varian Standard dan Executive didatangkan dengan dua beg udara, dan telah menerima pengiktirafan 5-Bintang dari Asean NCAP. Tidak dilupakan ialah penarafan 4-Bintang dari Australian NCAP.

Bagi varian tunggal Premium, ianya dilengkapi dengan enam beg udara, seterusnya membolehkannya menerima penarafan 5-Bintang dari Australian NCAP. Untuk maklumat lebih lengkap, kita tunggu apabila ANCAP mengeluarkan video ujian pelanggaran Proton Iriz tidak lama lagi bersama-sama markah keseluruhan yang diperolehi.

Berkenaan sesi pandu uji, sahabat penulis mengatakan pemanduan dan pengendalian Proton Iriz sangat lancar dan mantap, bagaikan memandu sebuah kereta sedan. Apabila masuk ke dalam kabin, ianya dikatakan lebih senyap berbanding model Suprima S. Nampaknya tahap NVH Proton Iriz dah mencapai tahap baru yang lebih selesa dan menyenangkan.

Kualiti material di bahagian ruangan kabin pula dikatakan sangat baik. Tahniah Proton sebab ada peningkatan ketara, harap-harap betullah ye. Proton Iriz dijangka akan dilancarkan pada tarikh 27 September 2014 (Sabtu), agak terlewat berbanding model kompak Perodua Axia yang akan dilancarkan pada tarikh 15 September 2014 (Isnin).

Lagi maklumat-maklumat tambahan mengenai Proton Iriz :

  • Ciri baru Super Lock yang boleh mengunci pencuri di dalam kereta
  • Ruang bonet 15 liter lebih luas berbanding Perodua Myvi
  • Kamera undur (reverse camera) untuk varian Premium
  • Spoiler untuk varian Premium agak ‘ganas’ dan sporty
  • Spoiler varian Executive kelihatan agak skema
  • Varian Standard tidak dilengkapi spoiler
  • Varian Executive ada lampu kabus, Premium DRL, Standard NA
  • Kualiti pintu sangat baik, tutup sikit pun dah rapat (kualiti kereta import)
  • Papan pemuka ada kemasan jahitan benang seperti Toyota Vios
  • Kelajuan maksimum 180 km/j
  • Penggunaan petrol 5.7 liter per 100 km untuk kelajuan malar 90 km/j
  • Rim varian Standard dan Executive 14 inci, Premium 15 inci
  • Brek cakera untuk roda depan sahaja, belakang brek biasa
  • Dimensi panjang, lebar dan tinggi melebihi dimensi Perodua Myvi
  • Ruang dalaman lebih luas berbanding Perodua Myvi

p/s : Apa pendapat semua pembaca blog KeretaMoto.com mengenai info di atas? Harap-harap Proton Iriz tidak akan mengecewakan kita semua.. 🙂

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here