Kemeriahan Aidilfitri bersama MAN sempena pembukaan pusat servis kenderaan terbaharu di negeri Johor

0
91

MAN Truck & Bus Malaysia (MTBM) baru-baru ini secara rasminya telah membuka cawangan pusat servis kenderaan terbaharunya di negeri Johor pada tarikh 23 Ogos 2014 yang lalu.

Sempena dengan pembukaan itu, MTBM turut memeriahkannya dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama tetamu jemputan khas yang antaranya ialah pegawai-pegawai daripada SPAD, rakan niaga, kakitangan dan yang paling diraikan ialah kanak-kanak yang merupakan anak-anak yatim daripada Pusat Kebajikan Shan De.

Dalam majlis yang diadakan itu, para tetamu telah disambut oleh Pengarah Urusan Mr. Hartmut Mueller dan kakitangan antaranya termasuklah Dirk Szusgien yang merupakan Ketua Selepas Jualan, Dinesh Nair, Pengurus Besar Jualan & Pemasaran, dan turut disertai oleh Azman bin Jaafar, Pengurus Servis JB.

Dalam ucapan alu-aluannya, Mueller berkata MTBM telah memilih Johor disebabkan negeri itu kini sedang mengalami pertumbuhan yang pesat dan keperluan untuk kenderaan-kenderaan berat juga diyakini akan bertambah sejajar dengan peningkatan taraf ekonomi.

Projek-projek yang dibangunkan seperti Iskandar Malaysia, pusat tarikan pelancongan Lego Land dan Pinewood Studios, projek minyak dan gas dan industri petrokimia di Pengarang dan Tanjung Bin, secara tidak langsung telah memberi makna bahawa keperluan untuk sistem pengangkutan dan logistik sangat-sangat diperlukan, tambah beliau.

Oleh itu, Johor merupakan sebuah kawasan strategik untuk MAN kerana syarikat itu percaya bahawa mereka akan mampu memberikan khidmat penyelenggaraan dan servis selepas jualan terbaik kepada pelanggan-pelanggan yang berada di kawasan berdekatan.

Ini seterusnya akan membantu untuk memastikan setiap kenderaan akan menerima prestasi yang optimum dengan tahap kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik, di samping menjadikan mereka selamat dan layak untuk dipandu di jalan raya.

Beliau menegaskan bahawa MAN telah dikenali di peringkat global sebagai pengeluar kenderaan komersial yang boleh dipercayai dan cekap, dan R&D yang berterusan akan memastikan kecekapan pengunaan bahan api yang lebih baik dan enjin yang lebih bersih yang mana ianya akan memberikan manfaat kepada pemilik dan juga alam sekitar.

Dalam ucapannya juga, Mueller berharap para pelanggan-pelanggan mereka di selatan akan mengambil kesempatan melalui pembukaan Pusat Servis JB MAN memandangkan kehadirannya di sana adalah untuk memberikan layanan kepada mereka.

Majlis pembukaan pusat servis terbaharu itu juga menyaksikan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik telah diadakan untuk anak-anak yatim yang menjadi tetamu istimewa pada hari tersebut.

Untuk makluman, MAN ialah sebuah jenama kenderaan berat yang sangat popular untuk trak dan bas di pasaran seluruh dunia. Ia juga merupakan salah satu daripada syarikat-syarikat peneraju industri di Eropah dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi bagi produk-produk berteknologi tinggi seperti mesin pencetak, turbin dan pengecas turbo.

Pusat servis kenderaan terbaharu MAN terletak di alamat seperti berikut :

MAN TRUCK & BUS (M) SDN. BHD.
12A, Jalan Kencana Mas 2,
Kawasan Perindustrian Tebrau 3,
Mukim Tebrau, 81100,
Johor Bahru, Johor.

Tel: 017 – 884 5910

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here