Proton dan Modenas rancang keluarkan model baharu dengan enjin buatan sendiri

0
225

Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd (Proton) dan Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), kedua-duanya anak syarikat milik DRB-Hicom Bhd, merancang untuk memperkenalkan model-model baharu dengan enjin yang dibangunkan sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd Khamil Jamil dilaporkan berkata, Proton telah memulakan program untuk membangunkan teknologi enjinnya sendiri dan juga bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk membangunkan varian enjin yang lain.

“Kami telah membeli enjin NE-01 daripada Petronas dua tahun yang lepas dan kami sedang membangunkan enjin itu.”

Pada Disember 2012, Proton telah membeli kesemua teknologi dan maklumat enjin yang dibangunkan oleh Petronas sejak tahun 1997 melalui syarikat Petronas Technology Ventures Sdn Bhd, cabang pengkormesialan teknologinya, pada harga sebanyak RM63 juta.

Dengan pengambilalihan itu, Proton kini memiliki tujuh teknologi enjin dengan 117 teknologi yang dipatenkan yang mana ianya termasuk enjin 2.0 liter turbocas yang bukan saja berkuasa malah cekap penggunaan bahan api, serta versi enjin turbocas 2.2 liter yang melengkapi barisan enjin Campro sedia adanya.

“Bagi syarikat motosikal nasional Modenas, buat pertama kalinya kami membangunkan sendiri enjin 150cc, program yang kami mulakan sejak tiga tahun yang lepas di Austria dengan Universiti of Graz, dan ia sepatutnya siap pada tahun depan,” kata Mohd Khamil.

DRB-Hicom memiliki 81% saham Modenas manakala pengeluar motosikal dari Jepun, Kawasaki Heavy Industries adalah rakan teknologi Modenas.

Mohd Khamil berkata akan berlaku perubahan di mana orang ramai akan beralih kepada penggunaan motosikal, terutamanya motosikal cub yang kebiasaannya dikenali dengan nama kapcai atau kapchai, dan juga skuter.

Modenas telah menetapkan sasaran produk jangka sederhana dan panjang untuk menawarkan pelbagai produk yang memberi tumpuan kepada segmen cub dan skuter, yang mana kedua-duanya lebih mendapat keutamaan pasaran tempatan, tambah beliau lagi.

Pada masa ini Modenas memegang di antara 10% dan 11% peratus daripada bahagian pasaran dengan jualan kira-kira 50,000 buah motosikal setahun di pasaran tempatan, manakala sebilangan kecil dieksport ke pasaran luar seperti Greece dan Iran.

“Kapasiti pengeluaran semasa kami adalah 150,000 buah motosikal setahun dan kami sedang berusaha untuk meningkatkan lagi bahagian pasaran kami sehingga 15% dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan pelancaran model baru yang dipasang enjin yang dibangunkan sendiri oleh kami,” kata beliau.

Menyentuh mengenai teknologi cekap tenaga, Mohd Khamil berkata Modenas merupakan yang pertama memperkenalkan versi eletrik untuk versi popular CT, dikenali dengan nama Modenas CTric pada tahun 2011. Bagaimanapun, model tersebut tidak berjaya di pasaran.

“Para pelanggan tidak berpuas hati dengan produk yang dijual kerana proses pengecasan pantas mengambil masa lebih kurang tiga jam manakala pengecasan penuh mengambil masa kira-kira lapan jam, berbanding motosikal berasaskan bahan api biasa yang mengambil masa kira-kira lima ke 10 minit untuk mengisi.

“Apa yang boleh kami buat sekarang ialah dengan memperkenalkan motosikal eletrik kami kepada sekolah-sekolah dan syarikat-syarikat keselamatan, di mana mereka boleh menggunakannya di dalam kawasan terhad, contohnya untuk melakukan rondaan.”

Tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Amirudin Abd Kadir berkata, syarikat itu menyasarkan untuk menjual 70,000 buah motosikal pada akhir rancangan pengurusan tahunannya yang berakhir pada 31 Mac 2014, yang akan meningkatkan bahagiannya dalam pasaran motosikal kepada 12% daripada 8%.

Sumber : Artikel diatas diolah semula daripada artikel asal yang disiarkan di dalam laman The Malaysian Reverse, yang diterbitkan pada tarikh 18 Ogos 2014.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here