Model baharu BMW X4

0
84

BMW X4 merupakan model terbaharu di kalangan siri BMW X, selain daripada model BMW X1, X3, X5 dan X6. Ianya juga merupakan model Sports Activity Coupe (SAC) pertama keluaran BMW untuk segmen saiz pertengahan premium. Dibina berasaskan platform sama seperti BMW X3, penampilan visualnya mengikuti jejak langkah model BMW X6.

Penampilan dinamiknya digariskan oleh pilihan luas sistem penjana kuasa yang canggih, sistem pacuan semua roda xDrive dan peralatan standard bertaraf tinggi. Dengan pilihan tiga enjin diesel, pakej teknologi BMW EfficientDynamics yang komprehensif dan sistem sambungan ekstensif BMW ConnectedDrive, kesemuanya memberikan pengalaman pemanduan yang sporty, berprestasi dan tahap kecekapan yang luar biasa.

Bermula dari hari pelancarannya, BMW X4 boleh didapati dengan pilihan tiga jenis enjin diesel yang kesemuanya mematuhi standard piawaian ketat EU6. Teknologi BMW TwinTurbo yang melengkapinya memastikan prestasi enjin terus dikekalkan di samping kadar penggunaan bahan api dan emisi CO2 sentiasa berada pada tahap minimum.

Bagi varian BMW X4 xDrive20d SE, ianya dikuasakan oleh enjin diesel 2.0 liter yang dibangunkan baharu menggunakan binaan aluminium sepenuhnya, di mana unit tersebut menghasilkan kuasa kuda setinggi 190hp @ 4,000rpm, dengan tork puncak 400Nm. BMW X4 xDrive20d didatangkan transmisi standard manual enam kelajuan, namun turut tersedia pilihan transmisi automatik lapan kelajuan, yang mana ianya memberikan ekonomi bahan api serendah 54.3mpg di samping menetapkan pelepasan emisi CO2 pada paras 138g/km.

Untuk enjin 3.0 liter enam silinder sebaris pada varian BMW X4 xDrive30d xLine pula, ianya dipadankan transmisi automatik standard Sport lapan kelajuan, yang memberikan pulangan gabungan 47.9mpg bersama-sama emisi CO2 hanya 156g/km. Prestasi yang terhasil kekal memuaskan pada angka sebanyak 258hp @ 4,000rpm dan tork puncak 560Nm dari serendah 1,500rpm, dengan pecutan dari sifar ke 100km/j dalam tempoh 5.8 saat.

Varian teratas BMW X4 xDrive35d M Sport menawarkan pilihan enjin diesel 3.0 liter dengan kuasa yang lebih tinggi, 313hp dengan tork puncak 630Nm yang bermula di antara 1,500 dan 2,500rpm. Dipasangkan standard sistem Launch Control, BMW X4 xDrive35d mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam tempoh masa hanya 5.2 saat, sebelum mencapai kelajuan sehingga 246km/j. Varian berkenaan bagaimanapun terus mengekalkan tahap kecekapan bahan api pada kadar hanya 47.1mpg dan emisi CO2 serendah 157g/km.

Untuk pasaran UK, BMW X4 telah berada di bilik pameran bermula dari tarikh 12 Julai 2014, berharga dari £36,590 OTR (RM197,059.10) untuk varian BMW X4 xDrive20d SE.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here