Enjin kecil Ford 1.0 liter EcoBoost menang anugerah enjin tahunan terbaik buat tahun ketiga berturut-turut

0
163

Kecil tapi berkuasa, malah ianya juga sebuah enjin yang cekap dengan tahap penggunaan bahan api yang sangat rendah. Buatan Ford, enjin 1.0 liter EcoBoost sekali lagi memenangi anugerah enjin tahunan antarabangsa terbaik buat tahun ketiga berturut-turut.

Enjin berkenaan bukan saja terpilih sebagai pemenang anugerah “2014 International Engine of the Year” hasil pemilihan 82 panel juri yang terdiri daripada wartawan automotif terkemuka dari 35 buah negara, malah turut menerima anugerah “Best Engine Under 1.0-litre”. Kedua-dua anugerah berprestij itu diumumkan dalam acara ‘Engine Expo 2014’ yang berlangsung di Stuttgart, Jerman dari 16 sehingga 18 Jun 2014 yang lepas.

Dengan kemenangan tersebut, enjin 1.0 liter EcoBoost kini telah memenangi sebanyak 13 anugerah utama, termasuk anugerah “Best New Engine” dalam tahun 2012, juga menerima anugerah “International Paul Pietsch Award 2013” untuk inovasi teknologi di Jerman, “Dewar Trophy” daripada ‘Royal Automobile Club’ di Great Britain, dan di U.S. dengan anugerah “Breakthrough Award” daripada majalah ‘Popular Mechanics’.

Ford juga merupakan pengeluar automotif pertama yang memenangi trofi “Ward’s 10 Best Engines” untuk enjin tiga silinder. Dilancarkan di pasaran Eropah pada tahun 2012 melalui model Ford Focus, enjin 1.0 liter EcoBoost kini boleh didapati di pasaran UK melalui sembilan lagi model iaitu Fiesta, B-MAX, EcoSport, C-MAX dan Grand C-MAX, Tourneo Connect, Grand Tourneo Connect, Transit Connect dan Transit Courier.

Menurut Ford lagi, model sedan keluarga Mondeo serba baharu juga akan dilengkapi enjin 1.0 liter EcoBoost apabila ianya dilancarkan pada hujung tahun ini, menjadikannya ianya sebagai enjin terkecil yang dipasang pada model bersaiz besar seperti itu.

Tersedia dalam pilihan versi 100PS dan 125PS, Ford baru-baru ini telah memperkenalkan versi 140PS bagi enjin berkenaan yang boleh didapati melalui model Fiesta Red Edition dan Fiesta Black Edition, yang didakwa sebagai kereta versi pengeluaran massa dengan enjin kecil berkapasiti 1.0 liter paling berkuasa pernah diperkenalkan.

Model itu dikatakan mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh hanya 9.0 saat dengan kelajuan puncak yang mencapai sehingga 200 km/j, di samping memberikan tahap penggunaan bahan api impresif 62.8 mpg dan pelepasan emisi CO2 serendah 104 g/km.

Untuk pasaran Malaysia, enjin 1.0 liter EcoBoost daripada Ford telah diperkenalkan melalui model Ford Fiesta 1.0L EcoBoost yang dilancarkan pada awal Mei 2014 yang lalu. Dengan kuasa kuda setinggi [email protected],000rpm dan tork maksimum [email protected],500rpm, model berkenaan ditawarkan pada harga RM96,551.65 (OTR Retail Price With Insurance).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here