BMW Group Malaysia perkenal BMW M3 Sedan & BMW M4 Coupe serba baharu

0
88

BMW Group Malaysia pada tarikh 27 Jun 2014 yang lalu telah memperkenalkan BMW M3 Sedan serba baharu dan BMW M4 Coupe dua pintu serba baharu untuk pasaran tempatan. Turut diperkenalkan ialah aksesori dan alat ganti BMW M terbaharu (BMW M Performance Parts and Accessories) untuk siri generasi semasa model-model BMW.

Kedua-dua model BMW M3 Sedan dan BMW M4 Coupe serba baharu itu dikuasakan enjin petrol enam silinder sebaris bersesaran 3 liter yang dibangunkan baharu, dengan penghasilan kuasa kudanya setinggi 431hp @ 7,600rpm dan tork maksimum yang mencapai angka 550Nm hasil bantuan teknologi M TwinPower Turbo.

Apabila digabungkan dengan kotak gear ‘M Double Clutch Transmission’ tujuh kelajuan yang dibangunkan untuk beroperasi dengan unit enjin berkuasa tinggi, BMW M3 Sedan dan BMW M4 Coupe serba baharu mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh hanya 4.1 saat, sebelum mencapai kelajuan puncak sehingga 250 km/j.

Menurut BMW, antara pencapaian lain sistem penjana kuasa pada kedua-dua model kereta berprestasi tinggi itu ialah tahap ekonominya yang cemerlang, di mana kedua-duanya mencapai kadar penggunaan bahan api hanya 8.3 liter per 100km dengan pelepasan emisi serendah 194g per km – peningkatan 26 peratus berbanding kiraan pada model terdahulu.

Hadir dengan rekaan luaran dan dalaman yang diakui begitu memikat dan sporty, para penggemar kereta sport berkuasa tinggi berjenama BMW di pasaran Malaysia kini boleh memiliki BMW M3 Sedan dan BMW M4 Coupe serba baharu pada harga jualan (retail price) sebanyak RM738,800.00 (BMW M3 Sedan) dan RM748,800.00 (BMW M4 Coupe).

Galeri BMW M3 Sedan

Galeri BMW M4 Coupe

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here