Honda Super Cub diiktiraf sebagai kenderaan pertama di Jepun yang menerima tanda niaga tiga dimensi

0
191

Jika ada di antara kita yang tidak mengenali motosikal yang bernama Honda Super Cub, atau lebih dikenali dengan nama Honda Cub, rasanya individu tersebut bukanlah peminat motosikal sejati. Tampil dengan rekaan ikonik yang cukup terkenal dan enjin yang sangat tahan lasak, Honda Super Cub telah berada di pasaran dunia seawal tahun 1958 lagi.

Menurut pengeluarnya, Honda Super Cub merupakan kenderaan paling laris di dunia, dengan jualan terkumpulnya sehingga Mac 2014 berjumlah sebanyak 87 juta unit. Baru-baru ini, Honda Super Cub telah diiktiraf sebagai kenderaan pertama di Jepun yang menerima tanda niaga tiga dimensi (three-dimensional trademark) yang begitu eksklusif.

Diperkenalkan di Jepun pada tahun 1997, tanda niaga tiga dimensi boleh diberikan kepada produk yang mempunyai tempoh penggunaan tersendiri yang panjang dan ekstensif. Untuk memperolehinya, kriteria yang ketat digunakan untuk pendaftaran, dan Super Cub menjadi salah satu daripada produk yang sangat sedikit untuk mencapai status tersebut.

Kunci utama yang digunakan oleh Pejabat Paten Jepun (Japan Patent Office) bagi mempertimbangkan sokongan yang sangat jarang berlaku terhadap Honda Super Cub ialah dengan melihat kepada konsep reka bentuknya yang konsisten dan dikekalkan sehingga lebih daripada 50 tahun sejak ianya mula diperkenalkan di pasaran, sementara ia terus mencapai peningkatan fungsi melalui sejarahnya yang panjang.

Honda kini menghasilkan siri motosikal Super Cub melalui 15 kilang pengeluarannya di 14 buah negara di seluruh dunia; terutamanya di Thailand, Indonesia, Vietnam, Brazil, China, Nigeria dan Jepun. Honda Super Cub dijual di lebih 160 buah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here