Cadangan kadar telus cahaya cermin gelap kenderaan dikurangkan sehingga 25 peratus

0
171

Sumber gambar di atas dari laman Facebook JPJ

Penulis pernah memiliki sebuah Proton Wira 1.5 manual sedan pada awal tahun 2013 yang lalu, sebelum kereta tersebut dijual untuk membeli Perodua Myvi 1.5 SE. Kereta Wira tersebut mempunyai lapisan filem cermin tepi dan belakang yang kelihatan agak gelap, namun menurut kedai yang memasangnya, peratusan telus cahayanya masih lagi mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Hendak dijadikan cerita, suatu hari sewaktu penulis memandu kenderaan tersebut pada jam lebih kurang 6.45 petang, penulis telah ditahan oleh dua orang anggota JPJ yang melakukan sekatan jalan raya. Penulis telah diberikan saman untuk hadir ke pejabat JPJ untuk menjalankan pemeriksaan bagi memastikan cermin kereta Wira tersebut mematuhi peraturan kadar telus cahaya, jika tidak penulis akan dikenakan kompaun.

Pada hari yang ditetapkan, penulis pun membawa kereta Wira tersebut ke lokasi pemeriksaan JPJ seperti mana yang diarahkan. Malangnya, tempat pemeriksaan tersebut tidak mempunyai alat untuk mengukur cermin gelap kenderaan, dengan alasan alat tersebut telah dihantar ke SIRIM sejak beberapa bulan yang lalu untuk diuji semula, atau dengan lain perkataan untuk dijalankan kalibrasi semula agar pengukurannya lebih tepat.

Penulis berasa agak bengang kerana seolah-olah dipermainkan oleh pihak JPJ ketika itu. Penulis percaya cermin kereta Wira milik penulis tidaklah terlalu gelap, sebaliknya hanya kelihatan gelap disebabkan penglihatan pegawai JPJ yang menahan kereta penulis tempoh hari yang tidak dapat melihat perbezaannya dengan tepat. Maklumlah, kereta Wira penulis ditahan pada waktu hampir senja, dengan keadaaan persekitaran yang mulai gelap.

Sekarang ini heboh pula mengenai kemarahan orang ramai (termasuk penulis sendiri) apabila pihak polis dan JPJ didakwa akan mengadakan operasi cermin gelap kenderaan secara besar-besaran. Ramai yang mempertikaikan undang-undang dan peraturan sedia ada kerana dianggap telah lapuk. Tambahan pula, sebagai sebuah negara yang mempunyai iklim yang panas di samping kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi, ramai yang beranggapan bahawa pemasangan cermin gelap untuk kenderaan adalah praktikal dan sangat-sangat diperlukan.

Rentetan daripada itu, akhirnya suatu bengkel bagi membincangkan mengenai perkara tersebut telah diadakan baru-baru ini bagi mengkaji semula kadar ketelusan cermin gelap untuk kenderaan yang sepatutnya dibenarkan. Bengkel Kajian Semula Peraturan Penggunaan Cermin Gelap itu pada awal Jun baru-baru ini telah mencadangkan agar had telus cahaya bagi cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang dikurangkan kepada 30 peratus daripada peraturan lama yang menetapkan sehingga 50 peratus.

Berdasarkan laporan, penguatkuasaan yang akan dijalankan nanti bagaimanapun akan mengambil kira pengurangan tambahan sehingga 5 peratus untuk kedua-dua cermin sisi belakang dan cermin belakang, disebabkan kemungkinan berlakunya ketidaktepatan alat pengukur kadar ketelusan cahaya yang digunakan. Ini menjadikan kadar minima yang akan dibenarkan nanti adalah sehingga 25 peratus. Bagaimanapun, kadar telus cahaya untuk cermin depan dan cermin sisi depan kekal pada paras 70 peratus dan 50 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here