Pelaburan RM600 juta Perodua dan Daihatsu Motor, bina kilang enjin baharu di Sendayan, Negeri Sembilan

0
88

Beberapa hari yang lepas, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan rakan kerjasamanya Daihatsu Motor Company (Daihatsu), dilaporkan membuat pelaburan sebanyak RM600 juta dengan membuka kilang pengeluaran enjin baharu yang terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

Melalui syarikat pengeluaran enjin baharu itu dengan modal berbayar sebanyak RM165 juta, Perodua akan memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 49 peratus dan Daihatsu sebanyak 51 peratus. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kilang itu akan dibina pada bulan September tahun ini.

Katanya, pelaburan baharu yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada pelan perancangan syarikat untuk menjadi lebih kompetitif di peringkat global dalam aspek kualiti, kos dan penghantaran. “Ketiga-tiga elemen itu amat penting untuk diperkukuhkan bagi memberi sinergi terhadap ekosistem industri automotif,” katanya dalam suatu kenyataan bertarikh 28 Mei 2014 yang lalu.

Tambah Aminar, bagi menghadapi persaingan pada masa hadapan, Daihatsu juga akan melakukan transformasi dalam operasi tempatannya di Malaysia yang dianggap sebagai tapak utama perniagaannya di luar negara. Jelasnya, keseluruhan kumpulan Daihatsu akan memberi tumpuan terhadap transformasi struktur yang melibatkan operasi pengeluaran kenderaan, termasuk transmisi automatik dan enjin.

“Kilang enjin baharu ini akan menggunakan seramai 150 kakitangan di kawasan seluas 142,000 meter dengan keluasan kilang 19,000 meter dan kapasiti pengeluaran sebanyak 140,000 unit setahun. Perniagaan utama syarikat pengendalian kilang baharu ini adalah mengeluarkan dan menjual enjin-enjin automotif dan juga membangunkan, mereka bentuk serta mengeluarkan peralatan atau alat ganti enjin,” ujarnya.

Tambah Aminar Rashid, ini merupakan pelaburan kedua Daihatsu di Sendayan selepas pembinaan kilang transmisi automatik elektronik yang dinamakan Akashi Kikai Industry Malaysia Sdn. Bhd. (Akashi Kikai). Akashi Kikai memulakan operasinya pada Mac lalu dengan Perodua mempunyai 10 peratus kepentingan ekuiti di dalamnya.

Sumber : Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here